Thursday, July 23, 2009

KOMEN 1 SEN


TOPIK : MLM & SI MATA DUITAN

Bila sebut pasal bisnes MLM atau Direct-Selling ni, ramai orang kerap berfikiran negatif. Kononnya ia lebih kepada satu bisnes yang banyak "unsur penipuan" sampai ramai orang terpedaya dan rugi berpuluh ribu ringgit.

Memang mudah untuk kita menuding jari, menyalahkan orang lain berbanding mengakui kelemahan diri sendiri. Walaupun ramai orang sudah tak percaya dengan peluang keemasan yang dibawa oleh bisnes MLM ini, namun, secara jujurnya, kita tak boleh nak nafikan bahawa, MLM sememangnya boleh mewujudkan pendapatan yang lumayan dan mengubah masa depan seseorang.

Buktinya sudah nyata, ramai orang yang sudah bergelar jutawan setelah menceburi bidang MLM ini. Samada seseorang itu berjaya hasil usaha gigihnya atau hasil usaha memperdayakan orang ramai, itu anda perlu lihat case by case, tanpa membuat sebarang 'hasty generalisation' (tuduhan melulu) ke atas jutawan-jutawan MLM.


MENGAPA RAMAI GAGAL DALAM BISNES MLM?

Selain faktor kelemahan diri sendiri yang malas berusaha dan sentiasa inginkan jalan singkat untuk menjadi kaya, ramai orang gagal dalam bisnes MLM mereka akibat terpedaya dengan janji-manis SI MATA DUITAN.

Kerana percaya dengan kata-kata si mata duitan inilah, ramai yang mulakan bisnes MLM mereka dengan modal yang besar, "lebur" RM20,000 - RM30,000, sedangkan bisnes MLM itu sendiri BOLEH DIMULAKAN dengan MODAL SERENDAH RM200-RM500 sahaja sebenarnya.

Ada yang sampai sanggup berhutang di bank bertahun-tahun lamanya, membeli stok dalam jumlah yang besar, semata-mata nak lompat ke position yang lebih tinggi, kononnya boleh kaya dalam masa singkat bila 'main modal besar'.

Si 'Mata Duitan' ini sangat licik orangnya. Tutur katanya sungguh manis, seolah-olah semuanya indah belaka, tanpa ada cacat-cela. Orang sebegini biasanya lebih MEMENTINGKAN KEUNTUNGAN PERIBADI berbanding faedah atau kepuasan anda, baik sebagai rakan bisnes mahupun pengguna produknya. Dia sanggup berjanji yang bukan-bukan, memberikan harapan palsu, semata-mata untuk membuatkan anda menyertainya, tanpa memikirkan kesannya jika anda gagal dalam MLM tersebut.

Dari pelbagai rungutan dan keluhan yang disuarakan oleh orang ramai, itulah punca sebenar yang saya nampak. Ramai yang gagal angkara terpedaya dengan janji-manis si 'mata duitan'. Dialah the 'real culprit' for your failure!


BERHATI-HATI DENGAN SI MATA DUITAN

Untuk pengetahuan anda, si 'mata duitan' ini bukan sahaja wujud dalam bidang MLM saja. Dalam bidang insurans & takaful pun ada - buat proposal macam simpanan atau pelaburan 100%, tapi sebenarnya masuk dalam pelan insurans di mana 60% -90% caruman tahun pertama HANGUS BEGITU saja.

Dalam bidang Unit Trust pun ada juga - buat proposal menjanjikan pulangan 20%-30% setahun, kononnya tiap-tiap tahun boleh dapat banyak itu. Walhal, sekali sekala saja perkara itu berlaku, itupun kalau prestasi bursa saham naik mencanak-canak seperti tahun 2007.

Dalam bidang lain seperti perniagaan pembantu rumah, agensi mencari kerja, urusan perbankan, nasihat guaman dan sebagainya, pun wujud manusia yang mata duitan ini. Asal wujud manusia si mata duitan ini, industri yang diceburinya itu pasti akan tercalit dengan taktik kotor mereka itu.

Si Mata Duitan ini bijak mengambil kesempatan ke atas diri anda yang
1) Terdesak kerana kesempitan wang atau dihimpit tekanan kerja
2) Malas berusaha kerana sentiasa inginkan kerja yang mudah
3) Tamak kerana nak cepat kaya dengan jalan singkat
4) Ketiadaan ilmu & pengalaman dalam bisnes / produk yang ditawarkan

Jadi, dalam sesetengah kes, bukan bisnes MLM yang patut dipersalahkan (kerana mereka dikawal-selia di bawah Akta Jualan Langsung dan KPDN & HEP), tetapi manusia yang bergelar 'SI MATA DUITAN' ini kerana mereka ini lebih mementingkan keuntungan peribadi berbanding untung-rugi anda.

Apa yang anda perlu tahu adalah, mereka ini biasanya akan menggunakan kata-kata yang anda ingin/suka dengar seperti income lumayan, untung lipat ganda, tak perlu bekerja, tak perlu jual barang, tak perlu jumpa orang, tak perlu buat apa-apa. Kononnya, duduk diam pun boleh berjaya.

Dan disebalik janji-janji manis tersebut, mereka ini biasanya suka CERITA TAK HABIS. Mereka tak akan cerita secara terperinci bagaimana income lumayan itu akan terhasil, dari mana ia terhasil, apa usaha yang perlu dilakukan untuk mencapai income setinggi itu, berapa banyak downline perlu dikumpul sebelum boleh mencapai income yang diinginkan dan sebagainya.


MLM SEBAGAI 1 CARA UNTUK MENGUBAH NASIB DIRI

MLM atau Multi-Level Marketing adalah suatu jenis perniagaan yang menggunakan kaedah pemasaran bertingkat (melibatkan downlines) dimana, teknik utama yang digunakan adalah melalui marketing "mulut-ke-mulut" , yakni pemasaran berdasarkan recommendations & referrals.

Ia biasa digunakan untuk produk-produk yang memerlukan penerangan tambahan (tak mudah dibeli kalau sekadar tengok iklan sahaja seperti insurans & unit trust) atau produk baru yang ingin menembusi pasaran sedia-ada (di mana pengguna perlu diyakinkan akan kebaikan & kelebihannya seperti makanan kesihatan & minuman herba).

Dalam erti kata lain, secara zahirnya, TIDAK ADA SALAHNYA bisnes MLM ini kerana ia hanyalah satu bisnes yang berasaskan "Referral System" saja sebenarnya. Untuk dapat harga yang lebih murah, anda perlu menjadi pengguna-setia (Regular User) atau pengedar berdaftar (Authorised Distributor) dan bila anda rekomen produk tersebut kepada kenalan-kenalan lain, anda akan menerima komisyen bagi setiap pembelian oleh mereka (setelah mencapai kuota yang telah ditetapkan).

MLM ini adalah satu perniagaan. Jadi, bila anda menceburi perniagaan MLM, janganlah pulak anda mengeluh kerana terpaksa melakukan penjualan, mencari downline (pelanggan atau bisnes partner) dan melakukan promosi.

Sesungguhnya duit yang dilabur tidak akan menghasilkan keuntungan, sekiranya anda tidak melakukan penjualan dan mengharapkan keuntungan buta-buta ke atas modal yang telah anda "leburkan".

Oleh yang demikian, jangan salahkan bisnes MLM bila anda gagal, kerana most of the time, anda gagal akibat salah diri sendiri atau terpedaya dengan kata-kata si mata duitan itu tadi.


drp simpanduit.com

No comments:

Post a Comment